Thursday, January 13, 2011

8 CIRI PELABUR EMAS YANG CEMERLANG DI MATA PENDITA

Salam,

Semalam Pendita sempat berbincang tentang topik ciri-ciri seorang pemimpin. Pengertiannya sangat berbeza. Pemimpin adalah seorang yang boleh mempengaruhi pengikutnya mencapai visi dan misi yang ditetapkan. Hasil perbincangan idea berkenaan, Pendita pindahkannya kepada ciri -ciri seorang pelabur emas menurut pandangan Pendita.

1. Semakin dikritik, Semakin hebat

Seseorang pelabur yang positif memiliki personaliti yang kuat umpama seketul emas yang telah dimampat, menjadi padu dan padat. Cabaran mendatang dilayani dengan matang.

Berbanding dengan s
eseorang berpersonaliti lemah, umpama timah mencair terkena periuk tanah panas membara. Pabila badai melanda, bersepai sampan terhempas di batu hamparan.

Dalam bidang pelaburan emas, banyak posting-posting Pendita telah disalah erti oleh pengunjung blog Pendita emas. Mereka mengkritik tetapi tidak memberi idea membina. Tanpa usul periksa terus memberi hukuman kepada Pendita. Walhal apa yang Pendita lahirkan sebagai asas atau panduan untuk dikongsi bersama.

Biarpun mendapat kritikan negatif Pendita Emas tetap steady. Apa yang Pendita niatkan, semua untuk dikongsi bersama. Agaknya telah tertanam dalam sanubari seorang guru, sifat memberi tanpa balasan terbawa-bawa ke dalam perniagaan.

Ilmu yang sedikit, baik disampaikan secara percuma. Bila ilmu Pendita berkembang, pahala menanti Pendita di alam yang kekal dan abadi. Insyallah. Pendita akan terus membuat posting yang boleh membantu anda semua.

2. Melihat Peluang Dalam Kegawatan

Orang yang negatif melihat kegawatan sebagai penghalang kemajuan. Tetapi, orang yang positif melihat kegawatan sebagai peluang keemasan.

Dalam pelaburan emas, suatu masa akan tiba kegawatan berlaku. Antaranya harga menurun berpanjangan. Ramai akan mengeluh kerana harga emas jatuh merudum. Ejen-ejen akan menuntut dan memaksa menerima emas mereka serta menyalahkan kita.

Rasa pedih hati bila cemuhan dan kritikan dikenakan bila harga selepas belian mereka jatuh merudum. Berlakulah Pelabur-pelabur membiarkan tempahan menjadi satu liabiliti pada anda.

Ketika inilah kita perlu berfikiran positif. Anggap ini sebagai satu peluang. Peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan. Bertindak bijak.

Beli emas mereka kemudian dapatkan pelanggan lain. Tidak mampu beli jadilah orang tengah carikan pelanggan lain dengan mendapatkan komisen jual beli pada kedua-dua belah pihak.

Sejarah Onassis, seorang budak miskin menjadi seorang jutawan Greek di Argentina menjadi bukti perbincangan ini. Beliau berpindah ke Argentina dari Greek untuk membina satu penghidupan baru ketika berusia17 tahun.

Lepas Perang Dunia Kedua, dunia menghadapi kemelesetan ekonomi yang sangat teruk; banyak syarikat muflis; ramai menjadi miskin dan papa; hilang harapan.

Onassis tidak membiarkan dirinya menjadi gagal. Beliau bertekad mencari peluang dalam kkekalutan itu. Beliau nampak suatu peluang. Ketika itu tentera-tentera Amerika Syarikat sedang menghadapi masalah kapal perang berlebihan kerana tidak lagi digunakan untuk berperang.

Beliau telah membeli kapal-kapal kecil tentera Amerika Syarikat dengan harga yang murah dan dibuat sedikit pindaan sehingga membolehkan kapal-kapal tersebut digunakan untuk mengangkut barang-barang dagangan.

Onassis yang positif telah dapat melihat peluang dalam kegawatan, manakala, orang lain lebih melihat halangan-halangan dalam kegawatan.

3. Sentiasa Berusaha Bersungguh-sungguh Dalam Pelaburan

Seseorang yang positif berpegang kepada falsafah: kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Fokusnya ialah untuk mencapai kejayaan; mencapai matlamat yang telah ditetapkannya dengan penuh kesungguhan dan keberanian.

Mengambil kata-kata nasihat Paul Getty, seorang bilionaire Amerika bahawa untuk mencapai kejayaan dalam pelaburan @ perniagaan, seseorang itu hendaklah membuat dua perkara ini:

Pertama: TETAPKAN SATU MATLAMAT BESAR
Kedua: MENCAPAINYA DENGAN PENUH KEBERANIAN!

Sebelum Paul Getty mencapai kejayaan, beliau terpaksa menghadapi pelbagai dugaan yang amat mencabar. Namun, wawasannya yang besar serta semangat beraninya yang begitu tinggi menjadi asas pemacu utama kejayaan Paul Getty. Beliau tidak mengenal erti putus asa. Pelbagai kata-kata negatif dilemparkan kepadanya supaya memberhentikan sahaja usahanya yang banyak mengalami kegagalan. Namun, semangat wajanya tetap utuh.

Mencari telaga minyak bukanlah suatu perkara yang mudah. Lebih-lebih lagi ianya melibatkan usaha pencarian dan penggalian yang memerlukan teknologi yang tinggi dan semangat jitu. Pada masa itu, teknologi pencarian dan penggalian minyak masih agak primitif. Namun, semangat menyala-nyala beliau yang sukar dipadamkan, serta keberanian, usaha gigih dan keyakinannya yang begitu tinggi akhirnya membawa kejayaan besar kepada Paul Getty dalam bidang perniagaan.

Beliau juga telah meluaskan operasi perniagaannya dengan menjadi pengimport minyak dari negara-negara Timur Tengah. Pengluasan perniagaannya dari segi geografi juga adalah selaras dengan wawasan besar dan semangat berani beliau.

4. Tidak menyalahkan Keadaan

Apabila seseorang telah memilih menjadi seorang pelabur emas berfikirlah secara positif dan tidak mengeluh atau mengecam bila ditimpa sesuatu musibah atau mengalami kekurangan pada diri.

Sebaliknya gunakanlah kekurangan yang ada untuk menjadi yang terbaik pada diri dan orang lain. Binalah rangkaian yang membina. Jika tidak pandai membuat "Table talk", menjadi speaker dalam mini seminar pasti ada teman yang boleh membantu. Jika tidak pandai membina blog berpautlah pada blog yang sudah mantop dengan keizinan.

Umpama cerita Napoleon yang kecil dan rendah 5 kaki 1 inci, sering dipermain-mainkan oleh rakan-rakannya ketika berada di Maktab Tentera tempat beliau belajar. Tambahan pula, Napoleon berasal dari Pulau Corsica yang dipandang tidak begitu penting oleh orang-orang Perancis.

Kerana itu, Napoleon telah berazam untuk menunjukkan / membuktikan kepada rakan-rakannya bahawa beliau adalah yang terbaik dari rakan-rakan yang selalu mengejek-ejeknya. Ilmu ketenteraan dibelajar sebaik mungkin. Akhirnya, beliau telah menjadi Maharaja Perancis - menakluki tiga suku Benua Eropah.

Kekurangannya serta ejekan-ejekan dari rakan-rakannya itulah yang mendorongnya menjadi panglima terkenal.

5. Sentiasa Mencari Jalan Memperbaiki Diri Dan Perniagaan

Orang yang positif sedar bahawa apa yang dilihat sebagai terbaik pada hari ini akan dinilai sebagai sederhana sahaja lima tahun mendatang. Oleh kerana itu, orang yang positif tidak henti-henti mencari jalan untuk membaiki kehidupannya. Kalau boleh hari ini lebih baik dari hari semalam dan bertambah baik pada hari esok. Senang kata, kita sebut sebagai selangkah ke hadapan.

Dalam perniagaan emas ini, Pendita mencadangkan carilah pelbagai sumber emas dari mana-mana syarikat agar bila berlaku kekurangan bekalan, syarikat satu pihak lagi dapat mengimbangi kekurangan yang berlaku seterusnya mengekalkan bekalan stok yang ada.

Peter Drucker, seorang profesor ilmu pengurusan Amerika Syarikat ada berkata: "Pengurus yang berjaya sentiasa bertanya kepada dirinya apakah yang boleh aku buat, bukan apa yang orang lain patut buat untuk aku."

6. Mendengar Dahulu Pendapat Orang Lain

Pelabur yang berjaya adalah Orang-orang yang positif tidak mengenepikan kecaman-kecaman musuhnya misalnya dengan terus mengatakan orang itu salah. Tetapi, ia akan mendengar kecaman-kecaman tadi dan memikirkan betulkah ia salah atau tidak. Perlu diingat, bahawa, bila orang mengecam, tentulah ada sebab-sebabnya. Kadang-kadang daripada kecaman orang lain, kita boleh dapat petunjuk untuk membaiki diri dan kerja kita.

Presiden Abraham Lincoln pernah dikecam oleh Menteri Pertahanannya, Edward Stanton. Ia telah digelar oleh Stanton sebagai seorang dungu. Adakah Lincoln marah dan memecat Menteri Pertahanan itu? Tidak! Sebaliknya, ia telah bertanya kepada Stanton mengapa ia berkata demikian? Stanton telah menerangkan bahawa langkah Lincoln memindahkan beberapa batalion tentera ke suatu tempat itu hanya akan merugikan kerajaan Amerika Syarikat. Presiden Lincoln yakin terhadap penjelasan Stanton itu, lalu menarik balik rancangannya tadi.

Sebaliknya, pemimpin-pemimpin yang tidak mengindahkan kecaman orang bahawa dasar pentadbiran dan ekonominya tidak dapat membawa keadilan sosial kepada rakyatnya, akhirnya, terpaksa meletakkan jawatan atau kalah di piliharaya dalam keadaan yang mengaibkan.

7. Sentiasa Bangun Apabila Terjatuh

Orang yang positif tidak gemar dengan sikap berputus asa. Orang yang positif memandang sesuatu kegagalan itu pada sudut positif. Mereka memandang kegagalan sebagai guru terbaik dalam konteks mencapai kejayaan.

Oleh kerana itu, orang-orang yang positif walau betapa teruk pun mereka jatuh akan terus berusaha untuk bangun semula serta berusaha mengukir kejayaan yang lebih besar daripada sebelum mereka mengalami kegagalan / kejatuhan.

Oleh itu, janganlah sekali-kali berputus asa. Sikap berputus asa adalah amalan syaitan. Allah mencintai makhluk-makhlukNya yang positif dan cekal serta sentiasa memohon keredaanNya. Insya-Allah.

8. Sentiasa Mencuba Dan Mengkaji

Pelabur mesti seorang yang berfikiran kritis dan kreatif tidak suka berada dalam statik. Tiada istilah kepuasan di hati mereka. Mencuba dari mendengar kata-kata yang tidak pasti satu tindakan terpuji. Jika benar satu perniagaan berkenaan sebagai 'scam' masuklah ke dalam organisasinya. Buat kajian, analisa, perbandingan dan akhirnya baru buat keputusan.


No comments: