Friday, June 10, 2011

KINI INFLASI SINGAPURA 4.1 DAN MALAYSIA DIUNJURKAN ANTARA 3.0-3.5 WALAUPUN TIADA SEMAKAN

Tiada rancangan semak kadar inflasi – BNM


Zeti Akhtar Aziz (dua dari kiri) beramah mesra dengan penerima anugerah biasiswa, Arman Shukri Hamidon (kiri), S.Arjunan (kanan) dan Tan Heang Lee (dua dari kanan) pada Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa Kijang Emas 2011 di Bank Negara Malaysia, semalam.


KUALA LUMPUR 10 Jun – Bank Negara Malaysia (BNM) tidak mempunyai rancangan untuk menyemak semula kadar inflasi buat masa ini meskipun terdapat kebimbangan terhadap peningkatan kadar itu.

Gabenornya, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berkata:

‘‘Kadar inflasi negara akan hanya dirasai kesannya sekiranya kita mempunyai harga komoditi yang tinggi dan menyebabkan peningkatan harga makanan.

‘‘Tetapi, ia merupakan antara perkara yang akan ditangani terutama dalam harga makanan. Bekalan, pengeluaran dan agihan perlu dipertingkatkan supaya lebih cekap,’’ kata beliau.

Zeti berkata demikian selepas majlis penganugerahan biasiswa Kijang Emas BNM 2011 di sini hari ini.

Kadar inflasi negara pada tahun ini diunjurkan pada paras antara tiga hingga 3.5 peratus.

Beliau berkata, orang ramai juga perlu lebih berjimat serta menguruskan penggunaan tenaga dengan lebih cekap supaya keadaan semasa dengan peningkatan harga bahan api dapat diuruskan.

Semalam, pakar ekonomi Singapura telah mengunjurkan peningkatan kadar inflasi negara pulau itu kepada 4.1 peratus pada tahun ini.

Kadar itu lebih tinggi sedikit daripada ramalan asal sebanyak 4.0 peratus pada Mac lalu, manakala kerajaan republik itu meramalkan kadar inflasi sekitar tiga hingga empat peratus.

Sementara itu, Bank Dunia berkata, peningkatan harga makanan dan bahan bakar boleh merencatkan pemulihan ekonomi dunia pada tahun ini.


Sumber :

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0611&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm

No comments: