Sunday, April 10, 2011

Inflasi Serang China


10 April 2011

Inflasi serang China

Rakyat yang marah terhadap kenaikan harga kemudian mengadakan demonstrasi untuk memprotes tindakan kerajaan hingga menyebabkan ramai terbunuh di tangan askar yang mengawal situasi di tengah Beijing.


SEORANG pekerja mengira wang kertas di sebuah cawangan Bank of China di Changzai, wilayah Shanxi.


KENAIKAN harga makanan yang mendadak di China menyebabkan kerajaan pimpinan komunis itu berusaha untuk mengawal kadar inflasi tanpa mengulangi kesilapan lalu.

Analisis menyatakan keseluruhan inflasi di China meningkat kepada 6.9 peratus pada November tahun lepas, iaitu kadar tertinggi sejak 10 tahun lalu.

Kadar inflasi yang semakin menjadi-jadi itu berlaku disebabkan oleh kenaikan harga makanan terutama daging utama, khinzir yang melonjak kepada 60 peratus.

Beberapa minggu kebelakangan ini, harga barangan berhadapan tekanan kenaikan kerana cuaca buruk yang melumpuhkan sistem pengangkutan negara ketika permintaan terhadap barangan amat tinggi apatah lagi selepas perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini.

Laporan dari Credit Suissane menyatakan 10 peratus dari tanah besar China menerima kesan akibat cuaca sejuk dan satu peratus mengalami kerugian tanaman dan sayur-sayuran.

Kenaikan harga dapat dilihat dalam item makanan dari minyak masak sehinggalah jus epal ketika pertumbuhan permintaan yang tinggi di China dan global mencipta apa yang dinamakan pakar ekonomi 'agflation'.

Agflation merujuk kepada sesuatu yang spesifik untuk menaikkan harga barangan keperluan pertanian.

Para analisis berkata, pihak berkuasa di Beijing menjadi amat bimbang terhadap prospek harga makanan yang sukar dikawal tetapi menambah bahawa masalah itu masih belum mencapai tahap di mana ia menyebabkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengguna seperti hampir sedekad lalu.

"Mereka (kerajaan pusat) benar-benar bimbang terhadap situasi ini. Tetapi ia masih jauh daripada masalah inflasi sebelum 1989," kata Andy Rothman, pakar analisis ekonomi untuk CSLA.

Januari lalu, Suruhanjaya Perkembangan dan Pembaharuan Kebangsaan, mengumumkan langkah mengetatkan pengawasan harga untuk bijirin, minyak masak, daging, ayam, itik, telur dan beberapa barangan yang dibeli secara borong atau runcit.

Ini diikuti pengumuman pada akhir Disember lalu bahawa bermula 1 Januari 2008, kerajaan akan menaikkan kadar cukai daripada lima kepada 25 peratus terhadap produk yang dieksport termasuk gandum, jagung, beras dan kacang soya untuk memastikan kestabilan bekalan di negara itu.


KEBANYAKAN harga barang yang naik melibatkan makanan utama termasuk sayur-sayuran.


Tindakan tersebut dilakukan untuk menghalang protes meluas yang terjadi hasil daripada kelemahan kerajaan mengatasi kawalan harga makanan yang menyebabkan inflasi sekitar 50 peratus pada 1988.

Rakyat yang marah terhadap kenaikan harga kemudian mengadakan demonstrasi untuk memprotes tindakan kerajaan hingga menyebabkan ramai terbunuh di tangan askar yang mengawal situasi di tengah Beijing.

"Kebanyakan harga naik untuk makanan utama yang menyebabkan rakyat menerima kesan kenaikan tersebut," kata Joe Studwell yang menulis di dalam bukunya, The China Dream.

Ketua kajian Credit Suissane untuk China, Vincent Chan berkata: "Jika anda lihat pada statistik, masalah inflasi di China merupakan masalah kenaikan harga makanan."

Sementara itu, Rothman berkata, kenaikan harga daging khinzir hanyalah masalah jangka masa pendek dan dia meramalkan harga barangan akan mula turun semula pada pertengahan tahun ini.

"Ini merupakan masalah bekalan. Pada 2006, harga daging khinzir 10 kali lebih rendah. Bukan tiada insentif yang dilakukan penternak untuk menghasilkan lebih banyak khinzir tetapi wabak penyakit blue-ear telah menghentikan bekalan ketika permintaan meningkat," katanya.

Satu lagi faktor utama dalam inflasi di China ialah minyak masak yang mana 60 peratus daripada bekalan adalah diimport.

"Penyumbang utama kenaikan ini ialah polisi ethanol Amerika Syarikat (AS) dan hanya sedikit rakyat China yang boleh melakukan sesuatu tentangnya."

Subsidi di AS menyebabkan pertukaran besar di China terhadap penggunaan bahan api berbanding makanan sekali gus berlakunya kenaikan harga untuk beberapa makanan utama di seluruh dunia.

Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangs-bangsa Bersatu berkata, laporan tahunan Food Outlook menyatakan bahawa AS akan meningkatkan tanaman jagung untuk penggunaan ethanol sebanyak 50 peratus pada tahun ini.

Jagung merupakan tanaman utama yang digunakan untuk menghasilkan ethanol. Kerajaan China bagaimanapun berkata, mereka tidak akan menjadikan hasil tanaman untuk penggunaan tenaga.

Pada Oktober lalu, China dijangka akan mengurangkan eksport bijirin daripada 7.7 juta tan pada 2006/2007 kepada 6.2 juta tan untuk tahun 2007/2008. Pada masa yang sama, ia akan meningkatkan import bijirin kepada 10.1 juta tan daripada 9.3 juta tan.

Pada tahun 2006/2007, China mengimport 32.2 juta tan tanaman menghasilkan minyak termasuk jagung dan kacang soya yang mana ia akan meningkat kepada 37.3 juta tan pada tahun 2007/2008. - AFP

No comments: