Aziz Muda |
KUALA LUMPUR, 18 Feb: Kaji selidik yang dilakukan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan kadar inflasi di negara ini akan meningkat kepada empat peratus pada 2011 hingga 2012 dan berada sekitar tiga peratus selepas 2013. Berdasarkan laporan Financial Times, kajian yang dijalankan oleh Northern Light mendapati 62 peratus pelabur menjangkakan inflasi akan meningkat secara global. Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca) menjelaskan, awal minggu ini data yang dikeluarkan di Britain menunjukkan Indeks Harga Pengguna di United Kingdom mencecah 3.7 peratus pada Januari 2011 yang menguatkan spekulasi bahawa inflasi sedang meningkat. Presidennya, Datuk Marimuthu Nadason berkata, inflasi dikatakan bakal mencecah kadar empat peratus dalam beberapa bulan akan datang dan kini penganalisa mempersoalkan sama ada Bank of England sudah kehilangan kredibiliti. Katanya, pakar ekonomi percaya Indeks Harga Pengguna akan meningkat sekitar 3.4 peratus pada Disember dengan petrol, makanan dan bil utiliti memberikan tekanan paling kuat terhadap inflasi. "Kadar inflasi pada tahun ini dijangka berada sekitar 2.5 hingga tiga peratus dan peningkatannya diramal lebih pantas menjelang separuh kedua ekoran pertumbuhan ekonomi dunia," jelasnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini. Inflasi di negara ini, menurut beliau, bakal meningkat lebih pantas sekiranya kerajaan melaksanakan cadangan pemansuhan subsidi di bawah rasionalisasi subsidi yang dikemukakan Unit Pengurusan Prestasi dan Penyampaian (Pemandu). Sementara itu, dalam laman webnya, consumerkini, Fomca menjelaskan, kadar inflasi di Malaysia pada Disember 2010 naik kepada 2.2 peratus, iaitu yang tertinggi dalam tempoh 19 bulan. Peningkatan itu, katanya, sekali gus merekodkan kadar inflasi tahunan kepada 1.8 peratus untuk 2010. Kenaikan kadar inflasi itu berpunca daripada lonjakan harga makanan, komoditi dan penurunan subsidi oleh kerajaan pada akhir tahun 2010. Penurunan subsidi yang menyaksikan kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak lima sen seliter, LPG lima sen sekilogram dan gula 20 sen sekilogram serta sambutan perayaan Krismas dan cuti sekolah telah mendorong kenaikan inflasi. Bagaimanapun, kadar inflasi negara masih jauh lebih rendah berbanding Indonesia 6.9 peratus, Thailand tiga peratus, Korea 3.5 peratus dan India 8.4 peratus. |
Sunday, April 10, 2011
Kadar inflasi di Malaysia membimbangkan
HARAKAH DAILY
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment