Wednesday, April 27, 2011

BERITA EKONOMI TERKINI

Bukan contoh terbaik - Nazari

Sumber : utusan online

KUALA LUMPUR 26 April - Jepun, Korea Selatan dan Singapura bukanlah contoh terbaik kepada negara untuk membangunkan ekonomi, para peserta persidangan diingatkan hari ini.

Ini kerana ketiga-tiga negara itu kerap mengalami krisis ekonomi serta rakyatnya hidup tertekan akibat kos sara hidup yang tinggi.

Peringatan itu diberikan dalam Persidangan Meja Bulat bertajuk 'Jawapan umat Islam kepada era keruntuhan sistem ekonomi kapitalisme' di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini hari ini.

Menurut Pensyarah Universiti Malaya (UM), Profesor Mohd. Nazari Ismail, Malaysia pernah meniru corak pembangunan Jepun dan Korea Selatan.

Bagaimanapun kata beliau, nasib menyebelahi negara, kerana tidak mencapai kemuncak prestasi ekonomi seperti mana kedua-dua negara itu yang kemudiannya terjerumus ke dalam krisis ekonomi.

"Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bukanlah keutamaan sebenar kerana ukuran itu tidak menggambarkan agihan ekonomi yang baik," kata beliau yang membentangkan kertas kerja bertajuk 'Ke mana hala tuju dasar pembangunan ekonomi negara'.

Tambahnya, Malaysia perlu mengawal peningkatan hutang isi rumah dan syarikat kerana ia merupakan punca beberapa negara telah muflis disebabkan masalah tersebut.

Tegasnya, walaupun pertumbuhan ekonomi Jepun, Singapura dan Korea Selatan memberangsangkan dicapai dalam tempoh singkat, rakyatnya tidak menikmati sepenuhnya kelebihan itu.

"Penduduk di negara-negara tersebut merekodkan kes bunuh diri tertinggi iaitu purata 10.3 orang bagi setiap 100,000 penduduk berikutan tekanan hidup seharian," katanya.

Katanya, Malaysia perlu berwaspada terhadap status negara mewah kerana negara yang mempunyai status itu seperti Ireland, Iceland dan Greece telah muflis.

Mohd. Nazari membayangkan Malaysia mungkin menghadapi situasi sosial lebih kritikal akibat kemelesetan ekonomi kerana komposisi kaumnya jelas berbeza, tidak seperti negara lain apabila menghadapi situasi muflis.

Antara panel lain dalam persidangan itu ialah, Ketua Pengarah IKIM; Datuk Nik Mustapha Nik Hassan dan Pensyarah Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Profesor Dr. Abdul Ghafar Ismail.

____________________________________________________________________________________________

Hutang isi rumah negara tertinggi di dunia

PULAU PINANG 26 April - Nisbah hutang isi rumah kepada pendapatan boleh guna rakyat negara ini merupakan antara yang tertinggi di dunia dengan kadar 140 peratus.

Penasihat Khas kepada Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Dr. Michael Lim Mah Hui ketika mendedahkan perkara itu berkata, kadar tersebut jauh mengatasi Singapura dengan 105 peratus, Amerika Syarikat (123.3 peratus), Korea (101 peratus), Thailand (52.7 peratus) dan Indonesia (38 peratus).

Menurut beliau, pinjaman yang diambil bagi setiap isi rumah di negara ini pula adalah pada kadar 1.4 kali lebih tinggi berbanding pendapatan menyebabkan pendapatan boleh guna menjadi semakin sedikit.

"Nisbah bayar hutang isi rumah juga semakin meningkat iaitu 39.5 peratus pada 2008, 49 peratus (2009) dan menurun sedikit kepada 47.8 peratus pada tahun lalu yang menunjukkan hampir separuh daripada pendapatan isi rumah digunakan untuk membayar hutang.

"Oleh itu, tidak banyak lagi yang tinggal untuk dibelanjakan bagi makanan, pengangkutan, pendidikan dan kecemasan. Bagaimana jika pencari nafkah jatuh sakit atau hilang pekerjaan? Situasi akan menjadi sukar dan ini amat membimbangkan," katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Menurut Mah Hui, bahagian terbesar hutang isi rumah di negara ini adalah untuk membayar balik pinjaman perumahan diikuti pinjaman kereta, penggunaan peribadi, pembelian saham dan kad kredit.

Katanya, berbelanja menggunakan dana yang dipinjam boleh meningkatkan ekonomi tetapi ia juga boleh memperlahankan ekonomi apabila isi rumah dipaksa menahan perbelanjaan dalam usaha untuk membayar semula pinjaman mereka.

Justeru, katanya, kerajaan perlu mengetatkan peraturan sedia ada termasuk dalam urusan gadai janji dalam pasaran hartanah dengan meningkatkan bayaran pendahuluan yang minimum selain meningkatkan deposit dan mengurangkan tempoh pinjaman kereta.

"Kerajaan juga perlu menghentikan iklan bagi pinjaman dan kad kredit yang tidak telus mengenai kos yang terlibat. Semua ini mampu meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat, sekali gus membendung mereka daripada berhutang terlalu tinggi sehingga tidak mampu dibayar," katanya.

___________________________________________________________________________________________

Bursa sukar lepasi paras 1,600 mata


dari kiri: Chris Eng, Ketua Kumpulan Penganalisis OSK Research Sdn. Bhd., Sam Chin dan Timbalan Ketua Penganalisis OSK Research Sdn. Bhd. Jeffrey Tan menunjukkan buku Syarikat Bermodal Kecil Terbaik di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 26 April - Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) diramal sukar melepasi paras 1,600 mata pada bulan Mei hingga Julai ini berikutan kekurangan projek-projek utama dalam tempoh tersebut.

Pada waktu itu, ekonomi negara dilihat agak suram kerana terdapat lebih banyak perancangan dibuat berbanding pelaksanaan, tetapi keadaan akan kembali aktif pada Ogos nanti.

Ketua Penyelidikan OSK Research Sdn. Bhd. (Osk Research), Chris Eng berkata, bulan Ogos merupakan tempoh kebangkitan ekonomi negara dengan pelbagai projek utama dilaksanakan sama ada di pihak kerajaan mahupun swasta.

''Pada Julai nanti projek MRT akan bermula, beberapa syarikat akan mengumumkan laporan kewangan serta perancangan mereka dan ini dilihat sebagai langkah awal yang positif untuk separuh kedua tahun ini.

''Fasa kedua Pelan Transformasi Kerajaan (ETP) juga bergerak aktif pada Ogos dan berdasarkan jangkaan kami, FBM KLCI akan melepasi paras 1,600 mata selepas tempoh tersebut,'' katanya selepas majlis pelancaran buku Syarikat Bermodal Kecil Terbaik 2011 di Malaysia, Singapura dan Indonesia, di sini hari ini.

FBM KLCI hari ini ditutup pada paras 1,527.34 mata.

Eng berkata, OSK Research menyasarkan FBM KLCI akan ditutup pada paras 1,680 mata pada akhir tahun ini.

Sementara itu, beliau berkata, kadar kecairan pasaran yang tinggi di rantau Asia mampu memberi impak positif kepada syarikat-syarikat bermodal kecil untuk menjadi tarikan pelabur luar

Beliau berkata, kejatuhan ekonomi Amerika Syarikat dan Eropah telah menyebabkan banyak syarikat pengurusan dana beralih ke pasaran Asia untuk melabur dalam sektor tertentu yang berpotensi.

Katanya, pada suku pertama tahun ini, pengurus dana dilihat lebih berminat melabur dalam syarikat-syarikat bermodal besar di Asia berbanding syarikat bermodal kecil, namun keadaan itu dijangka bertukar.

''Tumpuan yang keterlaluan terhadap syarikat bermodal besar menyebabkan harga pasaran akan melambung tinggi ke paras yang kurang relevan, sehubungan itu mereka (pelabur luar) akan beralih ke syarikat-syarikat bermodal kecil pula,'' katanya.

__________________________________________________________________________________________

BERITA HARIAN ONLINE

Ringgit terus kukuh, dijangka cecah paras tertinggi RM2.93


2011/04/27

RINGGIT dijangka terus mengukuh ke paras tinggi baru dalam tempoh terdekat, menuju paras RM2.97 bagi setiap dolar Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh sebulan sebelum mencecah ke paras puncak pada RM2.93 dalam tempoh enam bulan.

Ahli Ekonomi AmResearch, Manokaran Mottain, berkata unjuran itu dibuat berasaskan kepada kajian menerusi model econometrik mata wang tempatan.
“Secara keseluruhannya, sebarang peningkatan tertakluk kepada aktiviti pengambilan untung dalam jangka panjang, justeru bakal menyaksikan unit itu menurun sekitar 2.97 bagi setiap dolar AS menjelang akhir 2011.
“Selain dolar yang lemah berikutan jangkaan pelonggaran dasar monetari AS, jangkaan spekulasi mengenai potensi kadar dasar semalaman (OPR) domestik menolak naik unit itu ke paras tertinggi dalam tempoh 13 tahun pada RM2.99 semalam,” katanya di Kuala Lumpur, semalam.

Manokaran berkata, sejak Januari lalu, mata wang tempatan itu sudah meningkat hampir 2.4 peratus berbanding dolar AS.

Ahli ekonomi itu berkata, ringgit yang lebih kukuh juga sebahagian besarnya adalah susulan spekulasi bahawa peningkatan inflasi baru-baru ini akan mempengaruhi pembuat dasar untuk menaikkan kadar faedah atau terpaksa akur dengan penurunan nilai benar mata wang jika tidak berbuat demikian.

Kadar inflasi Malaysia meningkat kepada paras tertinggi dalam tempoh 23 bulan kepada tiga peratus pada Mac, lebih tinggi berbanding 2.9 peratus pada Februari.
Beliau menambah harga bulan ke bulan meningkat hanya sebanyak 0.1 peratus pada Mac berbanding 0.5 peratus pada Februari dan 0.6 peratus pada Januari.

Manokaran berkata, spekulator menganggap kenaikan faedah 25 mata asas sebanyak tiga kali oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sejak Mac tahun lalu, meletakkan Malaysia antara negara yang pertama mengetatkan dasar monetarinya.

OPR Malaysia kini pada tahap 2.75 peratus manakala Rizab Persekutuan AS mengekalkan kadar faedah dalam julat antara sifar dan 0.25 peratus sejak Disember 2008, katanya.

“Perbezaan kadar faedah memihak kepada Malaysia berbanding AS, sekaligus menjadikan Ringgit lebih menarik berbanding dolar,” katanya. – BERNAMA


No comments: