Wednesday, December 15, 2010

ZAKAT SEBENARNYA PENYUBUR ROH

Mengapa wajib zakat?

Firman Allah Taala: Segala sesuatu yang kamu tunaikan dari zakat dengan mengharapkan keredhaan Allah, orang-orang yang demikian itulah yang akan dilipat gandakan hartanya. (Al-Rum:39) FirmanNya lagi: Tunaikanlah zakat (Al-Baqarah:43)

Sabda Rasullullah s.a.w. rukun Islam itu didirikan atas lima perkara, antaranya baginda menyebut menunaikan zakat. Beliau menambah Dari Salim bin Amir, katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. berkhutbah pada haji wida’, sabdanya: Bertakwalah kepada Allah, bersembahyanglah lima waktu, berpuasalah di blan Ramadhan, tunaikanlah zakat harta kamu….al-hadis (Riwayat al-Tarmizi)

Ijmak – Umat ini telah sepakat mengatakan bahawa zakat adalah salah satu dari rukun Islam yang lima.

Definasi zakat,

menurut bahasa ialah suci dan subur / tumbuh dan berkat. Kebarkatannya berdasarkan doa-doa yang disampaikan oleh penerima zakat baik disampaikan dalan hati secara individu maupun secara berkumpulan. Lagi besar kumpulan penerima zakat makin besar pahala yang diterima penyumbangnya insyallah.

Menurut syarak, ialah nama dari sejumlah harta tertentu yang diberikan kepada golongan tertentu dengan syarat-syarat tertentu.

Zakat adalah salah satu dari rukun Islam yang lima. Hukumnya fardu ain atas setiap yang memenuhi persyaratannya. Zakat diwajibkan pada tahun kedua Hijrah. Kewajipannya adalah ma’lum minaddin biddarurah (dapat diketahui tanpa perlu diteliti secara mendalam/sepontan).

Hukum Zakat

Mengenai hukum zakat, para ulamak sememang telah sepakat mengatakan ia adalah wajib. Hanya, mengenai perkara-perkara yang wajib dikeluarkan zakat, ada yang mereka sepakati dan ada yang mereka perselisihkan.

Zakat terbahagi kepada dua bahagian:
1. Zakat yang berkaitan dengan badan manusia sendiri – zakat fitrah
2. Zakat yang berkaitan dengan harta, iaitu seperti di bawah ini:

Menurut para ulamak dari empat mazhab, terdapat lima perkara yang wajib dizakati, iaitu:
1. Binatang ternak
2. Emas dan perak (termasuk wang ringgit)
3. Tanaman dan buah-buahan
4. Barang perniagaan

Setiap satu dari lima perkara di atas mempunyai perincian dan syarat-syaratnya.

Oleh itu secara syarak dan rasional, dapatlah kita simpulkan bahawa setiap penghasilan, wajiblah dikeluarkan zakat. Ditambah pula apabila kita melihat kepada roh, hikmah dan tujuan zakat itu disyariatkan, iaitu membersihkan serta menyuburkan harta, sebagai penyelesai masalah kemiskinan, tanda kesyukuran ke atas nikmat Allah dsbnya.

Kaitan zakat dan roh

Perkataan zakat sering diulang-ulang di dalam al-Quran kerana harta dalam ajaran Islam sentiasa berfungsi untuk faedah pembangunan masyarakat, samada ia menjadi modal atau menjadi sumber kebajikan. Harta dalam Islam tidak boleh dibekukan dalam simpanan sahaja tanpa dikeluarkan zakatnya. Tuhan berfirman yang bermaksud:"supaya harta itu tidak hanya teredar diantara orang-orang kaya sahaja". Dan dalam ayat yang lain Allah berfirman:

Maksudnya :

“Dan orang yang menyimpan emas dan perak (wang) dan tidak membelanjakannya kepada jalan Allah (berzakat/bersedekah), maka khabarkanlah kepada mereka azab siksa yang tidak terperi sakitnya.”

Zakat juga merupakan satu sistem yang berupaya menentukan keadilan sosial masyarakat kerana zakat berperanan menjamin perlindungan dan pertanggungjawaban terhadap kesejahteraan dan keamanan ummah. Golongan kaya wajib menunaikan sumbangan yang berbentuk zakat kepada golongan fakir miskin dan golongan yang perlukan bantuan kebendaan. Allah berfirman:

Maksudnya :

“Sesungguhnya dana zakat terkumpul itu adalah untuk diagih-agihkan secara adil/saksama kepada orang-orang fakir, golongan miskin, para amil-amil zakat, golongan mualaf, hamba-hamba yang ingin memerdekakan diri, untuk kebaktian di jalan Allah dan kepada musafir yang keputusan belanja diperjalanan.”

Ketahuilah dan sungguh benar, dana zakat yang terkumpul adalah satu jaminan terhadap keperluan sosial ummah supaya mereka dapat turut serta dalam kehidupan bermasyarakat, tidak menjadi individu atau golongan yang terpinggir dan terpencil. Allah memberi amaran keras terhadap orang yang kaya tetapi bersifat kedekut serta cuai kepada golongan daif. Ancaman yang akan dirasai ialah mereka akan dihumbankan ke dalam neraka saqar dan wayl, kerana mereka termasuk orang-orang yang mendustakan agamanya.

Allah memberi amaran keras kepada orang-orang musyrik dan menerangkan ciri-ciri mereka, iaitu tidak membayar zakat dan mengingkari hari akhirat. Allah berfirman:

Maksudnya :

“Celakalah orang-orang yang mempersekutukan Tuhan, iaitu orang-orang yang tidak membayar zakat dan mengingkari hari akhirat.”

Oleh itu, kaum muslimin sekalian, ketahuilah dalam setiap harta yang kita perolehi dan yang kita miliki itu terdapat hak dari roh orang-orang yang memerlukannya. Allah berfirman:

Maksudnya :

“Dan adapun dalam setiap harta yang mereka miliki itu terdapat bahagian atau hak bagi mereka yang meminta-minta dan pada mereka yang memerlukan bantuan”



No comments: