Wednesday, March 9, 2011

BNM kekalkan OPR pada 2.75 peratus?

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0309&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_02.htm

KUALA LUMPUR 8 Mac - Bank Negara Malaysia (BNM) diramal akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus pada Mesyuarat Jawatankuasa Monetari yang dijadualkan pada Jumaat ini.

MIDF Research berkata, ramalan itu mengambil kira tekanan inflasi berikutan kenaikan harga komoditi dan minyak yang menyebabkan peningkatan inflasi domestik melalui tekanan penolakan kos.

Selain itu, rasionalisasi subsidi, tarikan permintaan inflasi daripada unjuran ekonomi dan kesan kekayaan positif turut mengekang kenaikan OPR.

Menurutnya, kenaikan harga minyak mentah dunia yang mencecah AS$100 setong (RM303 setong) dan pergolakan masih tercetus di Timur Tengah dan Afrika Utara, sukar untuk kerajaan untuk rasionalisasi subsidi.

Sebaliknya, kerajaan akan terus mengekalkan subsidi untuk mengekang tekanan penolakan kos kepada para pengguna.

''Kalau ada rancangan (untuk mengurangkan subsidi) ia mungkin dilakukan pada separuh kedua 2011,'' katanya dalam nota penyelidikan firma itu.

Bagaimanapun, kenaikan inflasi turut diambil kira akibat pengukuhan mata wang ringgit dan jurang pengeluaran dalam kedudukan tertentu.

''Mengambil faktor-faktor tersebut, MIDF Research menjangkakan OPR akan dikekalkan tetapi kemungkinan dinaikkan sebanyak 25 mata asas pada suku kedua 2011,'' tambahnya.

No comments: